Lagi empat tahun saya akan ke LA -- Fizzi Rosni sedia jadi pengganti Dekwan

Muzaffar Musa
August 28, 2024 20:06 MYT
Lagi empat tahun saya akan berada di Los Angeles, itu azam dibawa Ahmad Fizzi Rosni, yang sedia menggantikan tempat jaguh pecut para negara, Ridzuan Puzi.
Fizzi berada dalam kategori T36, sama seperti Dekwan, cuma pertuturannya lebih jelas dan kini kelihatan lebih menyerlah dalam acara 400 meter.
Dia baru dua tahun menjalani latihan di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dan meletakkan Dekwan sebagai idolanya.
Sepanjang dua tahun ini, Fizzi mengakui amat teruja menjalani latihan bersama Dekwan, meskipun catatan masa terbaiknya dalam acara 100m, iaitu 12.3s, masih di belakang Dekwan (11.9s).
Dalam Para Sukma pertamanya edisi lalu, Fizzi cemerlang meraih tiga pingat emas dalam acara 100, 200 dan 400 meter.
Fizzi terlepas slot wildcard untuk ke Sukan Paralimpik Paris 2024 tetapi dia berkeyakinan untuk memperoleh kelayakan merit menjelang edisi di Los Angeles pada 2028.
"Sasaran saya adalah untuk LA empat tahun lagi. Saya akan mencuba yang terbaik." katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Saya melihat Dekwan sebagai idola dan apabila masuk ke sini (MSN), saya dapat berlatih dengannya dan rasa lebih bersemangat.
"Dekwan memiliki kepantasan yang baik dan saya masih kalah kepadanya dalam acara 100 meter tetapi daripada segi 'endurance', saya menang," katanya.
#Paralimpik #Olahraga #Ridzuan Puzi #Sukan Paralimpik Paris 2024 #Fizzi Rosni
;