KOM jalin kerjasama dengan pakar Jerman

Shaiful Shamsudin
November 1, 2024 21:10 MYT
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Olahraga Jerman (DLV) mengadakan kerjasama erat dalam tempoh lima bulan akan datang.
Bersempena Kejohanan Olahraga Berganti-ganti Dunia di China, skuad olahraga kebangsaan Jerman bakal singgah di Malaysia untuk proses penyesuaian diri sebelum ujian sebenar di negara Tembok Besar itu, sebulan kemudian.
Lantas, pelari pelari bertaraf dunia termasuk pemegang pingat gangsa 4x100 meter wanita Sukan Olimpik Paris termasuk jelitawan pecut Jerman, Alica Schmidt.
""Tujuan kami adalah untuk membawa pelari pecut dan pelari jarak jauh terbaik dari Jerman ke Malaysia bagi menghadiri kem latihan pusat.," kata pengurus pasukan acara pecut DLV, Julian Reus.
Kerjasama ini bukan perkara baru, malah bekas atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh, kini merupakan salah seorang tenaga pelatih di DLV.
Bahkan Pengerusi DLV, Idriss Gonschinska, pernah melatih ramai atlet negara seperti Noraseela Khalid.
"Kami pernah mengadakan kerjasama membabitkan beberapa atlet Malaysia dan ia merupakan satu pengalaman menarik.
"Kami menggunakan hubungan yang sudah lama terjalin ini untuk menyesuaikan diri selain (program) dengan jurulatih tempatan dan klinik untuk menimba ilmu dalam beberapa bidang," katanya.
Rencana utama adalah mengadakan program latihan bersama dengan atlet olahraga negara pada April tahun depan, namun tidak menolak kemungkinan bakal ada penyertaan jemputan melibatkan atlet Jerman dalam kejohanan domestik pada masa depan.
"Kami cuba untuk tidak menganggu tetapi jika diberi peluang, kami mahu mengadakan sesi selama sehari setengah untuk menganjurkan pertandingan dan ia bakal memberikan pengalaman menarik," kata Naib Presiden KOM, Datuk Mark William Ling.
#Olahraga
;