Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad, menjelaskan kelab Liga Super, Kuala Lumpur FC, perlu mencari RM2 juta lagi untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji sambil menegaskan hanya berbaki dua bulan.

Khalid juga yakin akan menyelesaikannya sebelum tarikh surat yang dinyatakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Kami minta RM10 juta (daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tetapi akhirnya dapat RM6 juta dan tambahan RM2 juta kerana menjadi duta Kuala Lumpur Rendah Karbon.

"Jadi kami dapat RM8 juta dan sekarang kami kekurangan RM2 juta lagi untuk membayar gaji.

"Hakikatnya kontrak asal mengikut musim asal adalah 30 November, jadi hutang tertunggak adalah untuk Oktober dan November.

"Saingan liga pula terlajak dengan perlawanan terakhir pada 17 Disember jadi kami perlukan sedikit perbincangan kerana ia di luar musim.

"Gaji Januari, Februari dan Mac tahun ini banyak berkurangan oleh kerana pemain belum tandatangani kontrak. Ini beri kami ruang untuk bernafas bagi menampung tunggakan gaji yang dihadapi," katanya dalam sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.


Dalam masa sama, musim 2024/25 pastinya lebih mencabar dengan empat pasukan yang perlu ditampung serentak untuk pelbagai peringkat umur mengikut ketetapan penganjur.


Antaranya, proses penjualan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) yang kini giat memohon Lesen Kebangsaan untuk bertanding dalam Liga Super, selain usaha mendapatkan hak penjagaan semula Stadium KLFA di Cheras bagi menjana ekonomi.

"Pada 2023 kami terpaksa membentuk pasukan tambahan. Kalau dulu ada B- 19 dan B-21, tapi sekarang B-18, B-20 dan B-23 selain pasukan Liga Super.





"Pada masa sama, kami dah bawa KL Rovers daripada awal kerana ada komitmen yang perlu dipenuhi walaupun ia bukan satu keperluan dan kewajipan.

"Segala pelaburan dalam untuk KL Rovers dalam Liga M3 akan diperoleh kembali setelah kami menjualnya. Maka apa sahaja pelaburan kami dalam masa 4-5 tahun ini akan dapat balik," katanya.