Kelantan FC tampak menunjukkan reaksi positif untuk mengelak daripada disingkirkan daripada Liga Super menerusi perkembangan terbaru yang dikongsi kelab berkenaan hari ini.

Ia membabitkan langkah pertama yang diarahkan oleh First Instance Body (FIB) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk diselesaikan menjelang tarikh akhir yang berbaki dua hari sahaja lagi.

"Kami telah berusaha sehabis maksimum dan apa jua kami serahkan kepada FIB untuk menilainya.

"Harapan kami, mereka menerima usaha kami.

"Kami juga akur dengan permintaan FIB dan jika kedua-dua pihak boleh menerimanya, Insya-Allah lesen akan dapat kembali kepada Kelantan FC," kata Ketua Pengarah Eksekutif (CEO), Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid.

Terdahulu, The Red Warriors dituntut untuk menyelesaikan tunggakan gaji Julai dan Ogos atau mendapatkan persetujuan bersama dengan pemain sebelum Khamis ini untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan musim 2024/25.





Jika gagal untuk langkah pertama itu maka kelab yang dimiliki Norizam Tukiman tersebut secara automatik tidak akan diberikan Lesen Kebangsaan dan perlu beraksi dalam saingan Liga M3 musim depan.

Namun, sekiranya ia diselesaikan, kelab Pantai Timur itu juga perlu menyelesaikan isu kedua membabitkan kes Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila tempoh diberikan sehingga 31 Disember ini untuk diselesaikan.