Kerja keras saya selama ini terbalas -- S. Sivasangari

Saufi Tahir
May 27, 2024 19:59 MYT
S. Sivasangari melonjak ke ranking ke-10 dunia dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Jelajah PSA Wanita.
Berikutan kemaraannya ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia Skuasy di Kaherah, Mesir, ditambah kecemerlangan dalam Kejohanan Klasik London bulan lalu, dia mendaki satu lagi kedudukan -- secara tidak langsung muncul pemain wanita ketiga negara yang menembusi senarai 10 pemain terbaik selepas Datuk Nicol David dan Low Wee Wern.
Sementara itu, Mesir menguasai tiga tangga teratas menerusi Nour El Sherbini, Nouran Gohar dan Hania El Hammamy.
Pemain lelaki negara, Ng Eain Yow, turut menunjukkan perkembangan positif kariernyanya dengan menguasai tangga ke-15 dunia.
"Rasa gembira dengan pencapaian saya musim ini. Saya letakkan sasaran untuk berada dalam kelompak 10 pemain terbaik.
"Kerja keras saya selama ini terbalas, saya harap akan mendapat lebih banyak pingat emas pada masa akan datang.
"Semestinya selepas apa yang sudah berlaku, saya percaya sesuatu perkara berlaku ada atas sebab tertentu dan saya gembira dengan prestasi saya ketika ini.
"Hidup ada naik dan turun sebagai seorang atlet dan saya akan lakukan yang terbaik di masa akan datang. Saya akan terbang ke England minggu depan dan berharap dapat lakukan yang terbaik." katanya kepada Nadi Arena.
#Squasy #S. Sivasangari
;