Kerajaan Negeri Terengganu perlu bersikap lebih adil! - Rizal Hashim
King Hisyam
August 26, 2024 15:24 MYT
August 26, 2024 15:24 MYT
Kerajaan Negeri Terengganu dilihat perlu bersikap lebih adil kepada atlet renang dan terjun mereka dari sudut penglibatan atlet di sebarang temasya sukan yang berlangsung samada di dalam ataupun di luar negara.
Jelas pemerhati sukan negara, Rizal Hashim, adalah tidak wajar sama sekali atlet terjun dan renang dari negeri itu yang memiliki bakat dan mampu membawa pulang pingat tidak diberikan ruang untuk mengetengahkan bakat mereka.
"Kita tahu Kerajaan Negeri Terengganu mengenakan kod pemakaian yang ketat yang perlu memenuhi syarat atau syariah untuk atlet, cumanya Terengganu seperti mana yang kita ketahui adalah antara negeri yang dianggap kuasa sukan yang besar di peringkat tempatan dan bertegas untuk tidak menghantar
atlet mereka dalam acara tertentu.
"Cumanya ia tidaklah adil kepada para atlet yang berbakat dalam sukan-sukan yang menetapkan pemakaian mereka itu tidak memenuhi kriteria patuh syariah. kalau begitu Terengganu perlu menentukan hala tuju mereka samada mereka mahu membangunkan sukan-sukan yang tidak menimbulkan isu pakaian sambil meminggirkan semua sukan yang memiliki isu sebegini?"Jelasnya ketika dihubungi oleh Astro Arena.
Jelasnya lagi Kerajaan Negeri Terengganu juga perlu sedar bahawa untuk sukan-sukan seperti gimnastik, renang dan terjun tidak memungkinkan perubahan dari sudut pemakaian bagi membolehkan atlet-atlet mereka menyertainya kerana ia telah ditetapkan oleh badan induk antarabangsa.
Keadaan itu katanya akan meletakkan para atlet, pegawai dan ibu bapa dalam dilema yang tidak menentu demi kelangsungan karier dan masa depan mereka.
"Untuk menutup kerjaya mereka dalam sukan yang mereka pilih sudah tentu ia tidak adil sedangkan mereka memiliki bakat. Justeru dilema ini perlu ada nokhtahnya atau jika tidak bermakna Terengganu tidak akan melahirkan lagi bakat-bakat dalam sukan renang, terjun dan sebagainya."Katanya.
Persoalan juga bakal timbul apakah kerajaan negeri juga akan mengenakan syarat yang sama seandainya satu hari nanti giliran Terengganu pula menjadi tuan rumah kepada temasya sukan seperti SUKMA?
"Saya rasa tidak adil juga jika Terengganu turut mengenakan larangan yang sama kepada atlet bukan Islam untuk mewakili Terengganu dalam temasya sukan seandainya mereka adalah anak jati Terengganu dan sudah tentunya ia adalah satu tamparan yang hebat sekaligus memberikan isyarat yang bukan positif dikalangan orang bukan Islam.
"Seandainya Terengganu pula yang menjadi tuan rumah SUKMA nanti sudah tentunya ia akan mencetuskan isu di peringkat tempatan khususnya di peringkat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA di bawah kendalian KBS dan MSN. Bagaimana untuk mereka memastikan isu ini tidak timbul jika Terengganu menjadi tuan rumah?
"Jika sebelum ini Terengganu pernah menjadi tuan rumah SUKMA dan acara renang dan terjun dibolehkan bermakna mereka perlu ikut syarat yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa tersebut."Jelasnya.
Rizal juga berpendapat bahawa adalah tidak wajar sama sekali seandainya Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan untuk tidak memberikan imbuhan atau insentif kepada atlet terjun mereka yang telah menyumbangkan pingat dalam temasya SUKMA baru-baru ini.
Ini kerana katanya, kesemua atlet, pegawai dan ibu bapa mereka telah mengorbankan bukan sahaja wang tetapi juga masa dan tenaga hingga menempa kejayaan di Sarawak.
Sebelum ini Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Karim menegaskan bahawa skuad renang dan terjun Terengganu telah menyertai SUKMA Sarawak 2024 tanpa kebenaran dan pengetahuan kerajaan negeri itu.
Malah jelasnya kerajaan Terengganu berpendirian tidak membenarkan atlet beragama Islam untuk mewakili negeri dalam sukan tersebut kerana ia tidak mematuhi kod etika yang telah ditetapkan meskipun atlet berkenaan bukan berasal dari Terengganu.
Bagaimanapun ketika temasya itu berlangsung, atlet terjun Terengganu adalah antara yang paling menyerlah di temasya itu dan mampu membawa pulang beberapa pingat untuk Terengganu.
Ia termasuk Ilyssa Ixora Imran dan Uzlifatil Jannah Ashraf yang memenangi pingat gangsa bagio acara 10 meter platform seirama yang berlangsung di Pusat Akuatik Pandalela Rinong di Petra Jaya.
Malah Uzlifatil bersama rakan pasangannya, Muizuddin Mohd Asri turut memenangi pingat gangsa bagi acara 3 meter papan anjal seirama campuran selepas mengumpul 201.81 mata.