Kelantan Darul Naim jawab isu pemain import tiada visa
Muzaffar Musa
November 5, 2024 10:45 MYT
November 5, 2024 10:45 MYT
Kelantan Darul Naim (KDN), dalam satu kenyataan sebentar tadi, menjawab persoalan mengenai dakwaan kelab itu gagal memperbaharui visa pemain importnya, yang dikatakan sudah enam bulan.
Tular di media apabila pasukan itu dilaporkan bertindak secara tidak profesional gagal melunaskan tunggakan gaji dan mengabaikan pemain import mereka dari Korea Selatan.
Menjawab mengenai isu itu, Presiden Kelantan Darul Nai, Rozi Muhamad, dalam satu siaran media hari ini berkata kelab itu akan menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin.
"Terkait isu yang tular di media berkaitkan isu visa, suka saya perjelaskan di sini bahawa pihak kelab sedang menyelesaikan isu ini dan ia sudah di peringkat akhir untuk disiapkan.
"Pihak kelab komited serta berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kelulusan visa dan permit pemain import dapat diperoleh dengan seberapa segera yang mungkin sebagaimana amalan yang biasa dilakukan oleh pihak kelab.
"Isu kelewatan dalam menyelesaikan prosedur ini sebenarnya disebabkan beberapa isu teknikal yang tidak dapat dielakkan yang terpaksa dihadapi oleh pihak kelab.
"Bagi peringkat akhir prosedur kelulusan visa, pihak kelab telah menyelesaikan perkara-perkara berkaitan sama ada berkait dokumentasi dan sebarang pembayaran kepada pihak berkuasa dan kini hanya menunggu kelulusan rasmi dan seterusnya pengeluaran visa rasmi dapat dilakukan.
"Sebenarnya, sebelum ini terdapat sedikit kekeliruan daripada pihak ejen pemain berkenaan proses dan masalah taknikal yang dihadapi kelab.
"Bagaimanapun, pihak kelab dapat mengatasi perkara berbangkit ini hasil komunikasi yang baik bersama ejen pemain import berkenaan.
"Pihak kelab tidak pernah lepas tangan serta mengabaikan isu ini dan telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menyelesaikan masalah dengan sebaik mungkin.
"Pihak kelab juga telah mengambil langkah yang lebih efektif dengan mengadakan kunjungan hormat ke Imigresen Negeri Kelantan.
"Hasil daripada kerjasama yang baik di antara pihak Imigresen dan pihak kelab, saya telah dimaklumkan bahawa permohonan visa pemain import kini berada di peringkat akhir untuk diluluskan," katanya.