Menjelang Kejohanan Remaja Kebangsaan bermula esok, pemain skuasy negara, Aira Azman dan Low Wa Sern, tekad mencapai gelaran juara demi mencatat penamat manis bagi kategori masing-masing.

Aira merupakan juara bagi setiap kategori yang disertainya di kejohanan kebangsaan dan kali ini adalah penampilan terakhirnya bagi saingan B19 wanita.

Aira juga berkongsi bahawa gelaran juara itu bermakna untuk menyuntik semangatnya agar meneruskan impian membuat penampilan terakhir ke Kejohanan Remaja Dunia pada 18 Julai.

"Terdapat beberapa pemain yang turut sedang meningkat naik jadi ia akan menjadi cabaran untuk saya menghadapi kejohanan ini," kata Aira.



Manakala Wa Sern pula mencari gelaran juara pertamanya bagi B17 selepas tewas kepada rakan senegaranya, Harith Daniel Jefri pada edisi lalu.

Wa Sern berhempas pulas menjalani latihan untuk kembali membuktikan dirinya dan mahu menjamin gelaran juara pada musim ini.