Kejohanan Golf Maybank: Sertai festival kebudayaan ASEAN di KLGCC

Muzaffar Musa
October 17, 2024 15:02 MYT
Kejohanan Golf Maybank akan kembali menemui anda dari 24 hingga 27 Oktober ini di venue ikonik, Lapangan Barat Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).
Acara berkenaan menjadi tumpuan barisan pemain wanita yang bersaing dalam jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA).
Pada ketika peminat tempatan teruja untuk menyaksikan saingan golf tahap tertinggi itu, mereka juga dapat menikmati kekayaan kebudayaan rantau ASEAN memandangkan edisi tahun ini bukan hanya menjanjikan saingan mendebarkan dan menarik, bahkan ia turut merayakan perpaduan, pemerkasaan dan kemajuan rantau ini.
Berlatarkan pinggiran bandar Kuala Lumpur, kejohanan kali ini membariskan deretan atlet hebat termasuk juara bertahan, Celine Boutier, dan naib juara tahun lalu, Jeeno Thitikul, bersama nama-nama besar lain seperti Lilia Vu, Ruoning Yin, Ayaka Furue, dan Jin Young Ko.
Pemain profesional negara seperti Ashley Lau, Liyana Durisic dan Durriyah Damian bersama bintang meningkat naik, Mirabel Ting, pula akan membawa cabaran negara di hadapan penyokong sendiri.
Bukan sekadar pertandingan golf, Kejohanan Maybank juga menjemput pengunjung untuk menerokai dunia di luar fairway.
Perkampungan Maybank di venue berkenaan akan berfungsi sebagai hab kemudayaan dan hubungan komuniti.
Antara yang akan mencuri tumpuan ialah Maybank Women EcoWeavers, satu inisiatif yang memberi nafas baru kepada seni tenunan tekstil tradisional merentasi ASEAN.
Dengan tujuan memperkasakan wanita di Kemboja, Indonesia, Laos, dan Malaysia, program ini bukan sahaja mengekalkan ketukangan warisan tetapi ia juga mewujudkan mata pencarian yang mampan.
Demonstrasi secara langsung akan membolehkan pengunjung merasai kesenian di sebalik tekstil tradisional ini
dan mencuba anyaman tangan di bengkel yang disediakan.
Perkampungan itu juga menampilkan program We&I, yang mempamerkan karya seni dan barangan daripada artis kelainan upaya yang menawarkan gambaran sekilas tentang perspektif unik mereka sambil menyokong usaha kreativiti mereka.
Di Autisme Café, tetamu boleh menikmati makanan ringan dan minuman yang lazat, semuanya disediakan dengan berhati-hati, sambil menyokong perusahaan sosial yang didedikasikan untuk memperkasakan komuniti autistik.
#Golf #LPGA #Kejohanan Golf Maybank
;