Kejohanan Dunia Boling Tenpin: Skuad negara berada di tahap terbaik
Muzaffar Musa
November 11, 2022 20:32 MYT
November 11, 2022 20:32 MYT
Menjelang Kejohanan Dunia Boling Tenpin di Australia bermula esok, skuad negara dilaporkan berada di tahap terbaik dan yakin mampu meraih gelaran dalam kejohanan berkenaan.
Pemain negara, Timmy Tan, dan bekas juara dunia, Rafiq Ismail, berkata mereka telahpun dapat menyesuaikan diri dengan keadaan venue kejohanan itu tetapi tetap berwaspada dengan ancaman pencabar lain yang mampu menyekat impian mereka untuk bergelar juara.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, Rafiq berkata: "Hari pertama kami di Australia, segalanya berjalan dengan lancar, Alhamdulillah, kami sudahpun melakukan persiapan dan hari ini juga merupakan hari rasmi untuk melakukan latihan.
"Saya rasa kami semua nampak berkeyakinan. Apa yang kami lakukan dalam latihan di Malaysia agak sama dengan di sini, jadi saya agak tidak sabar untuk bertanding esok.
"Ada beberapa negara yang mampu memberikan cabaran kepada kami seperti Sweden, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Jerman tetapi saya agak yakin dengan pasukan saya kerana kami akan bermain dalam acara perseorangan dan berpasukan.
"Saya harap kami sekurang-kurangnya dapat membawa pulang pingat tanpa mengira warna, terutama dalam acara berpasukan," katanya.
Timmy menambah: "Pasukan tuan rumah agak kuat dan terdapat juga beberapa pasukan Eropah dan Hong Kong.
"Tetapi secara keseluruhan, saya agak selesa dengan suasana di venue perlawanan dan harap-harap keputusannya akan memihak saya," katanya.