Kejohanan Dunia Boling Padang: Malaysia muncul juara dunia

Ammar Hakim
September 9, 2023 16:18 MYT
Detik bersejarah tercipta di kelab Broadbeach Bulls, Gold Coast, Australia susulan kejayaan atlet negara Nur Ain Nabilah Tarmizi, serta pasangannya, Aleena Nawawi yang berjaya muncul juara dalam saingan Kejohanan Dunia Boling Padang sebentar tadi.
Bukan mimpi, tapi realiti, penantian pingat emas sejak penganjuran sulung kejohanan dunia tahun 1966 bagi kem wanita negara akhirnya menemui kejayaan.
Nur Ain Nabilah dan Aleena Nawawi berjaya mengukir sejarah buat skuad boling padang kebangsaan selepas menewaskan pasangan dari Malta dengan keputusan 15 berbalas 11.
Pingat emas tersebut juga merupakan yang pertama buat kem negara selepas kali terakhir diraih menerusi Safuan Said bagi acara perseorangan lelaki edisi 2008 yang diadakan di Christchurch, New Zealand.
Skuad boling padang negara menutup kempen Kejohanan Dunia 2023 dengan satu emas dan satu gangsa, sekaligus melakar pencapaian lebih baik berbanding edisi 2016.
Namun bukan jalan mudah buat pasangan muda negara yang terpaksa mengharungi perjalanan sukar dari awal.
Tewas dua aksi dalam peringkat kumpulan, pemain negara bangkit sehinggalah mara ke final, dan kemudian berjaya berada di puncak dunia.
#Boling #Padang #Kejohanan Dunia Boling Padang
;