Kejohanan Boling Kebangsaan: Rafiq, Sharon bergelar juara

Muzaffar Musa
March 12, 2022 21:21 MYT
Rafiq Ismail kembali bergelar raja boling tenpin negara selepas menewaskan Muhammad Hariz Adlan dalam final kategori lelaki Kejohanan Boling Kebangsaan di Sunway Megalanes hari ini.
Rafiq, 24, mengatasi saingan sengit lawan dari Pulau Pinang berkenaan sebelum menang 214-202 untuk dinobatkan sebagai juara kebangsaan buat kali ketiga.
"Apa yang saya lalui tadi, mungkin perasaan gementarnya agak berbeza berbanding sebelum ini kerana sudah lama sangat saya tidak dapat melalui kejohanan seperti ini.
"Saya berasa agak gementar tetapi Alhamdulillah, saya dapat menggunakan pengalaman saya untuk memenangi perlawanan ini," katanya kepada Astro Arena.
Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan, Sharon Koh, mengatasi saingan Sin Li Jane dalam penentuan tiebreak selepas terikat 204-204 dalam final kategori wanita.
Sharon merekodkan kemenangan 10-8 dalam tie breaker dan 236-203 dalam final.
Dengan kemenangan itu, pemain berusia 35 tahun berkenaan menyamai rekod lima gelaran kebangsaan yang sebelum ini dipegang legenda boling negara, Shalin Zulkifli.
#Sharon Koh #Rafiq Ismail #boling tenpin #Kejohanan Boling Kebangsaan
;