Kejohanan ASEAN AFF B-19: Harimau Muda waspada muslihat Singapura


July 22, 2024 14:07 MYT
Gaya permainan agresif Singapura dijangka menjadi ujian karakter buat skuad muda negara apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Kumpulan C, Kejohanan ASEAN AFF B-19 di Stadium Gelora 10 November, Surabaya malam ini.
Biarpun begitu, pengendali Harimau Muda, Juan Torres Garrido, mengakui kemenangan bergaya ke atas Brunei pada Jumaat lalu penting dan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan anak buahnya.
Namun begitu, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengingatkan skuad muda negara untuk tidak terlalu selesa dengan kemenangan itu sambil menjangkakan saingan lebih sengit Singapura.
“Singapura mempamerkan permainan agresif yang memberikan kesukaran kepada Thailand sebelum lawan bangkit memanfaatkan keletihan pemain mereka.
“Kami menjangkakan situasi sama apabila berdepan Singapura, namun kami akan menyediakan pasukan yang jauh lebih baik dengan senario berbeza berbanding ketika menang ke atas Brunei.
“Perlawanan ini juga penting buat kedua-dua pasukan, namun untuk kami apa yang lebih penting meningkatkan momentum dan seterusnya meraih tiga mata,” katanya.
Harimau Muda, yang tampil dengan status juara bertahan, membuka gelanggang dengan membelasah Brunei 11-0.
Singapura pula gagal mengekalkan momentum gol awal sentuhan Sahoo Garv pada minit ke-25 apabila tewas 1-2 kepada Thailand, yang bangkit hasil jaringan Phongsakon Sangkasopha (m-79) dan Pikanet Laohawiwat (m-85)
Pada masa sama, Garrido berkata motivasi dalam kalangan pemain Harimau Muda B-19 berada pada tahap terbaik untuk berdepan The Lions.
Malah jelasnya, pemain-pemain pula bebas kecederaaan, sekali gus memudahkan barisan kejurulatihan merencanakan percaturan taktikal pasukan.
Ditanya sama ada kelibat Abid Safaraz, yang meledak hatrik ketika berdepan Brunei, sekali lagi dipertaruhkan berdepan Singapura, Garrido berkata: “Ya, Abid mempamerkan prestasi membanggakan begitu juga pemain lain semasa latihan.
“Dan kami juga perlu melihat kepada jadual perlawanan yang begitu rapat sebelum memutuskan kesebelasan utama pasukan.”
Harimau Muda memimpin kumpulan dengan tiga mata diekori rapat Thailand (3 mata), Singapura dan Brunei masing-masing tanpa sebarang mata.
--Sinar Harian
#bola sepak #Harimau Muda #Juan Torres Garrido #Kejohanan ASEAN AFF B-19
;