Harry Kane berharap dapat membantu England mengecap gemilang dalam Euro 2024 di Jerman musim panas depan tetapi mengakui dia masih bergelut dengan bahasa negara itu sejak menyertai Bayern Munich bulan lalu.

Kapten England itu meninggalkan Tottenham untuk ke Allianz Arena bulan lalu dan sudah memulakan hidup barunya di Bavaria, di mana dia menjaringkan tiga gol daripada tiga perlawanan Bundesliga.

Bagaimanapun, walaupun kelihatan sudah memiliki persefahaman dengan rakan sepasukan barunya sewaktu di atas padang, Kane mendedahkan bahawa dia masih belum memulakan kelas Bahasa Jerman.

"Sejujurnya, ia masih belum bermula setakat ini.

"Saya hanya akan memulakan pembelajaran saya selepas pulang ke sana, gurunya tiada di sana untuk ketika ini.

"Saya amat terbuka untuk mempelajari bahasa itu. Saya diberitahu bahawa ia amat susah tetapi saya mahu menyesuaikan diri dengan budaya di sana sebanyak mungkin dan jika saya dapat tahu satu dua perkataan, ia cukup bagus," katanya.

Kane, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Tottenham, menyertai skuad kebangsaan England bimbingan Gareth Southgate di St George’s Park sebelum menghadapi Ukraine di Wroclaw bagi kempen pusingan kelayakan Euro 2024 tengah malam ini.

Mereka kemudian akan bertemu Scotland bagi satu aksi persahabatan istimewa awal pagi Rabu ini.