Kami berkawan baik, saya malu dengan Nakano - Shah Firdaus


August 14, 2024 11:08 MYT
Pelumba berbasikal trek Jepun meluahkan rasa terkejut dengan sikap rakyat Malaysia apabila media sosialnya diserang netizen negara baru-baru ini.
"'Saya ingat orang Malaysia baik-baik'. Saya macam, malunya!"
Mesej tersebut dihantar Shinji Nakano kepada pelumba berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang berasa malu dengan insiden di media sosial itu.
Tindakan warganet Malaysia itu susulan insiden perlanggaran ketika aksi final acara keirin Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Sebahagian mereka mendakwa Nakano menjadi punca perlanggaran sehingga memusnahkan impian Shah Firdaus untuk menamatkan saingan di podium.
Shah Firdaus berkata dia dan Nakano bersahabat baik, selain mendedahkan permohonan maaf daripada akaun TikTok pelumba negara Matahari Terbit itu adalah palsu.
"Malam semalam (Isnin) Nakano mesej saya kata kena serang (di akaun media sosial). Saya pun tak tahu, apabila tengok, sudah berpuluh ribu komen.
"Apabila ke Jepun, dia layan saya dengan baik," katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Shah Firdaus menjelaskan insiden perlanggaran dalam acara keirin adalah biasa dan hubungan sesama pelumba adalah akrab.
"Saya harap netizen berhenti sebab ia menjejaskan kami. Perkara ini memang berlaku (perlanggaran), ada 'body contact' dan ia biasa dalam keirin.
"Sebenarnya dia tak berniat nak 'hentam' saya, itu sebab 'G-force'. Bila ada 'body contact', ia nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja," katanya.
Dalam aksi final keirin di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, Shah Firdaus berpeluang untuk meraih gangsa ketika saingan menuju penamat.
Namun, berlaku perlanggaran dengan Nakano yang mengakibatkannya terjatuh dan menamatkan saingan di tempat keempat sebelum diturunkan ke tangga keenam.
Insiden tersebut mencetuskan marah warganet negara yang kemudian menyerang akaun media sosial Nakano.
Susulan serangan berkenaan, muncul satu hantaran permohonan maaf kepada Malaysia menerusi akaun TikTok yang kononnya milik pelumba Jepun itu.
"Itu bukan TikTok dia (Nakano), dia cakap perkara itu dengan saya. Kami jumpa selepas perlumbaan... (akaun) TikTok itu.
"Biasalah orang buat cerita. Saya dengan dia ok sahaja dan tak ada masalah.
"Keirin biasa, ada 'body contact', cuma mungkin daripada mata penonton macam dia sengaja. Tetapi memanglah, semua orang nak menang. Jadi tak ada dendam apa-apa.
"Saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah," ujarnya lagi.
--Sinar Harian
#Sukan Olimpik #Shah Firdaus Sahrom #Berbasikal trek #Paris 2024
;