Jurgen Klopp digantung dua perlawanan berikutan komen yang dibuatnya terhadap pengadil, Paul Tierney, ketika Liverpool menang ke atas Tottenham bulan lalu.

Persatuan Bolasepak (FA) menjatuhkan hukuman berkenaan selepas Klopp mengakui komennya yang menuduh Tierney menyimpan dendam terhadap pasukannya sambil mempersoalkan integriti pengadil terbabit yang dianggapnya sebagai berat sebelah dan menjejaskan perlawanan.

Pengurus Liverpool itu turut didenda £75,000 (RM422,405) dan dilayangkan kad kuning dalam kemenangan 4-3 di Anfield berkenaan gara-gara memecut ke arah pengadil keempat sambil meraikan kemenangan lewat dramatik yang diledak oleh Diogo Jota.

Penggantungan pertama membabitkannya akan dikuatkuasakan serta-merta manakala perlawanan kedua ditangguhkan ke musim depan -- bergantung kepada kelakuan pada masa akan datang.