Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon, berasakan kemunculan semula Faisal Halim dalam skuad kebangsaan mampu menjadi peransang terbaik buat Harimau Malaya untuk melangkah jauh.

Dia berharap agar Faisal dapat kembali sembuh daripada kecederaan akibat disimbah asid sebelum ini. Tonggak kebangsaan itu masih dalam proses pemulihan di sebuah lokasi rahsia selepas dibenarkan keluar daripada hospital pada 25 Mei lalu.




Kehilangan khidmat pemain sayap Selangor itu jelas memberikan impak besar di bahagian jentera serangan Harimau Malaya dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebelum ini.

Faisal dijangkakan bakal membuat kemunculan hari ini dalam sidang media selepas insiden simbahan asid pada awal bulan lalu.

"Jika Faisal Halim membuat kemunculan semula dan sihat kembali sebagai pemain bola sepak, ia akan menjadi ransangan yang hebat buat Malaysia.

"Faisal akan menjadi wira negara." kata Kim Pan-gon.