Jangan cari jurulatih kerja separuh jalan -- Jamal Nasir


July 20, 2024 15:49 MYT

Kim Pan-gon melepaskan jawatan pengendali skuad bola sepak negara selepas membawa Harimau Malaya ke satu standard membanggakan sepanjang tempoh dua tahun sebelum situasi semasa menjelmakan semula wajah sebenar sukan nombor satu negara tersebut.

Biarpun alasan peribadi menjadi pembuka jalan kepada pengendali kelahiran Korea itu keluar dari Malaysia, dan tanggungjawab membarakan semula skuad negara digalas sementara jurulatih kelahiran Sepanyol, Pau Marti Vicente, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belajar sesuatu selepas Harimau Malaya kehilangan khidmat ketua jurulatih berusia 55 tersebut.

“Saya harap sangat FAM selepas ini lebih serius dalam pencarian pengganti Pan-gon, jangan lagi cari yang buat kerja separuh jalan biarpun pelbagai ujian serta cabaran sepanjang mengendalikan Harimau Malaya.

“FAM perlu cari calon yang boleh komited kepada pasukan hingga tamat kontrak, andai kontrak dua tahun biar habiskan dua tahun, lepas itu biar dia pergi kerana situasi yang berlaku sekarang masalah juga kepada pasukan.

?️ "It's wonderful to represent the country I love. Every time I get a call-up, it is a dream come true." @FAM_Malaysia's Sergio Aguero's story is a special one. ✨

— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) July 10, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

“Sebagai jurulatih profesional seharusnya seseorang itu menghormati kontrak apatah lagi pasukan negara dalam persediaan mengharungi beberapa kempen penting tahun depan,” katanya yang mengakui banyak kerja rumah perlu dilakukan pengendali baharu selepas ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM dilaporkan menghormati keputusan Pan-gon, bersetuju untuk melepaskan ketua jurulatih dari Korea Selatan itu dari tugasan dengan persetujuan bersama biarpun masih berbaki kontrak sehingga Disember 2025.

Dan sekali lagi bekas pemain pertahanan Harimau Malaya era 70-an itu menitipkan pesanan badan induk tersebut perlu lebih serius sebagai teras sokongan utama membolehkan pengendali skuad negara menyediakan pasukan yang kompetitif berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Sejujurnya, satu kerugian buat skuad Harimau Malaya apabila kehilangan Kim Pan-gon yang sepanjang tempoh dua setengah tahun terutama setelah berjaya membawa Malaysia layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun.

“Malah punca sebenar peletakan jawatan hanya diketahui Presiden FAM, (Datuk) Hamidin (Mohd Amin) menurut Pan-gon, juga satu lagi persoalan yang saya percaya akan melingkari komuniti bola sepak negara.

“Sejujurnya yang tersurat komuniti bola sepak semua sudah tahu, sebaliknya yang tersirat kekal rahsia Pan-gon dengan Hamidin,” katanya.

SIARAN MEDIA: KIM PAN GON LETAK JAWATAN KETUA JURULATIH HARIMAU MALAYA ▶️ Baca penuh di https://t.co/QPYaW1jf34#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/GHeRUOQjaW

— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) July 16, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Pada masa sama Jamal sekali lagi menegaskan kebolehdayasaingan skuad negara seharusnya seiringan dengan saingan liga yang kompetitif sebagai antara rangkaian pembekalan pemain untuk Harimau Malaya.

“FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dalam aspek ini perlu look into this matters seriously, kita mula mengelabah ibarat anak ayam kehilangan ibu apabila Faisal Halim dan Arif Aiman injured.

“Liga Malaysia perlu kompetitif, untuk kompetitif MFL perlu memikirkan pendekatan bagi membolehkan ketua jurulatih skuad kebangsaan mendapatkan lebih ramai set pool of players yang berkualiti yang lebih ramai.

“Selagi kita berdepan masalah untuk mencari lebih ramai pemain berkualiti yang berkaliber dalam Liga Malaysia yang boleh beraksi di pentas antarabangsa, selagi itulah masalah yang dihadapi Pan-gon akan diwarisi pengendali baharu Harimau Malaya,” yang menyifatkan pemain import lebih menyerlah dalam saingan liga teratas negara. - Sinar Harian

#bola sepak #Harimau Malaya #Kim Pan Gon
;