Pengendali skuad bola sepak B22 negara, E. Elavarasan, menganggap kejayaan menjulang Piala Merlion di Singapura sebagai satu titik tolak buat anak buahnya untuk meraih lebih banyak keputusan positif selepas ini.

Tegas pengendali yang pernah membimbing kelab Sarawak United, PDRM dan Terengganu itu, masih banyak yang perlu diperbaiki pasukan muda negara, terutamanya daripada aspek taktikal.

Elavarasan turut percaya dia akan dapat kerjasama daripada kelab untuk pelepasan pemain ke temasya Sukan SEA Mei depan.

Untuk rekod, kejuaraan Piala Merlion merupakan piala sulung buat Elavarasan sejak mengambil alih pasukan daripada pengendali, Brad Maloney September tahun lalu.

"Cara permainan kami, perkara paling penting adalah pemain untuk menyesuaikan diri dengan secepat mungkin. Kami perlu terus meningkat naik dan berusaha bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik pada masa akan datang," kata Elavarasan.

"Saya percaya kelab dan pasukan tempatan memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan pemain-pemain muda memperoleh pengalaman beraksi di pentas antarabangsa."