Hoki Remaja Asia: Perkasa Young Tigers, buru empat terbaik
October 30, 2024 10:05 MYT
Sasaran untuk berada dalam kelompok empat terbaik dalam Kejohanan Hoki Remaja Asia di Muscat, Oman bulan depan adalah realistik berdasarkan kepada keupayaan dan semangat juang pemain.
Hasrat tersebut selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dituntut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.
Ketua jurulatih, I Vikneswaran, berkata skuad Young Tigers itu akan menyahut cabaran tersebut dengan mempersiapkan pasukan pada tahap terbaik, sekali gus layak ke Piala Dunia Remaja 2025 tahun depan.
Tambahnya, bagi merealisasikan impian itu, kemampuan pasukan perlu diperkasakan supaya dapat memberi tentangan sengit kepada lawan.
"Realistik untuk capai empat terbaik. Ia berdasarkan kemampuan pemain ketika menyertai SOJC (Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor) 2024 baru-baru ini.
"Kejohanan itu memberi banyak hala tuju buat pasukan dan yang penting, pemain memperoleh pengalaman berharga. Mereka bersaing dengan pasukan bertaraf dunia dan pemain kebangsaan serta pernah beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
"SOJC merupakan kejohanan pertama yang disertai oleh pemain, mereka tiada pengalaman sebelum ini. Malah pasukan itu juga dipersiapkan dalam tempoh singkat dan pertandingan tersebut bagus buat mereka untuk menonjolkan keupayaan di pentas antarabangsa," katanya.
Sebagai rekod, kejohanan yang bermula 26 November hingga 4 Disember itu akan menampilkan 10 pasukan dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China, Oman dan Bangladesh.
Secara keseluruhan, tujuh slot disediakan untuk Asia pada Piala Dunia Hoki Remaja 2025 dengan satu tiket sudah tersedia buat tuan rumah, India.
Vikneswaran berkata bagi memantapkan pasukan, beberapa kelemahan yang sudah dikenal pasti perlu diperbaiki dalam sesi latihan yang berbaki antara dua ke tiga minggu.
Tambahnya, ia melibatkan disiplin permainan, tanggungjawab dan karakter pemain ketika di dalam serta di luar padang.
"Daya ketahanan pasukan perlu diperkasakan. Misalnya, barisan kejurulatihan menerapkan satu corak permainan. Secara keseluruhan mereka faham dan ikut perancangan itu tetapi ia tidak konsisten.
"Apabila tiba di penghujung perlawanan, apa yang dipraktik sejak awal 'hilang'. Ia disebabkan oleh tekanan pihak lawan. Isu ini perlu diatasi dan pemain perlu konsisten dari awal permainan sehingga wisel penamat. Tanggungjawab kendiri perlu lebih kuat," katanya.
--Sinar Harian