Hoki Piala Sumbangsih: Kehadiran Jong-hyun lengkapkan skuad TNB
Ammar Hakim
January 3, 2025 20:23 MYT
January 3, 2025 20:23 MYT
Kehadiran individu penting yang paling dinantikan, bintang Korea Selatan, Jang Jong-hyun selamat kini tiba di tanah air bagi melengkapkan barisan tonggak utama skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelang Piala Sumbangsih Sabtu ini.
Bergerak sebagai pemain profesional memberikan peluang buat Jong-hyun menjalankan khidmatnya sebagai 'pemain jemputan' buat musim kedua bersama TNB menerusi kepakarannya terutama dalam situasi pukulan sudut penalti.
"Dia baru tiba semalam, terdapat beberapa perkara yang kami akan lihat terlebih dahulu," kata Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini.
"Kami mahu memastikan dia bersedia untuk bermain dan posisinya amat penting buat pasukan."
Pemain berusia 40 tahun itu hanya perlu menjalani sesi latihan selama sejam untuk mencari semula retak dan aura permainan selepas kembali ke musim baharu Liga Hoki Malaysia.
"Dalam pasukan kami (TNB), setiap ahli pasukan memainkan peranan yang sangat penting dan semua orang berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik," kata Jong-hyun.
"Oleh itu, saya juga berazam untuk bekerja keras dan memastikan sumbangan saya mampu membantu pasukan mencapai kejayaan bersama."
Rekod cemerlang di pentas antarabangsa menjadikan dia sebagai aset berharga untuk mengekalkan kejuaraan treble yang dilakar TNB musim lalu.
TNB bakal mempertaruhkan barisan skuad utama dalam perlawanan pembukaan LHM menentang Terengganu Hockey Team.