"Saya tak gembira dengan situasi ini."

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengambil serius isu pergaduhan membabitkan pasukan Akademi MZ dan FCKL Eagles dalam saingan Liga Superimau FAM B-16 di Padang New Camp, Damansara pada Ahad lalu.

Ia dianggap serius dengan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku itu merosakkan suasana ketika umum mengetahui ia hanya sebuah aksi bola sepak di peringkat akar umbi.

"Saya tidak akan bertoleransi, saya sedang tunggu laporan penuh daripada pihak penganjur, jika ia perlu melibatkan polis, ia akan di lakukan dengan kadar segera.

"Jika pembentukan atlet dipalit dengan isu sebegini, bagaimana kita mahu melahirkan jagoan negara yang memiliki sikap sebenar sebagai seorang atlit bertaraf dunia?" katanya dalam Majlis flagoff e-sukan bagi Kejohanan Antarabangsa Honour of Kings 2023 di MSN Bukit Jalil hari ini.

Tegas Hannah, pihak penganjur perlu peka dan bertanggungjawab dengan insiden yang berlaku.

Terdahulu, tular video berdurasi 45 saat memaparkan insiden pergaduhan itu di media-media sosial.