Hannah azam perkasakan lagi skuasy wanita Malaysia

Shaiful Shamsudin
September 11, 2024 18:11 MYT
Ancaman China dalam skuasy perlu diberi perhatian, demikian penegasan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, setelah menyedari ramai bekas pemain Malaysia yang kini bertindak sebagai jurulatih untuk negara Tembok Besar itu.
Namun, dia berpendapat Malaysia harus fokus untuk meningkatkan ranking pemain kebangsaan terlebih dahulu daripada memikirkan peningkatan negara lain.
"Kami mahu pemain wanita negara menembusi senarai 10 pemain terbaik dunia dan ketika ini kita hanya mempunyai S. Sivasangari.
"Sasaran terdekat kami untuk emas ialah LA 2028.
"Ia tidak tertumpu kepada Sivasangari sahaja, malah kami ada Ng Eain Yow dan Aira Azman.
"Mereka sudah memenangi pingat emas di peringkat Asia tetapi untuk emas Olimpik, lebih sukar kerana adanya pemain seperti dari Mesir," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Berdasarkan ekosistem skuasy negara, Hannah menjelaskan pemerkasaan wanita dalam skuasy perlu diteruskan -- bermula dalam Sukan Malaysia (Sukma) -- berikutan Malaysia gagal mendapatkan pingat menerusi atlet wanita dalam Sukan Olimpik 2020 dan 2024.
"Skuasy unik memandangkan peringkat awalanya ialah keluarga kerana kebanyakan kemudahan adalah bersifat persendirian.
"Kalau ibu bapa yang melabur maka pemain wanita mempunyai peluang. Andai harapkan peringkat negeri sahaja, maka kami kena bekerja lebih keras dalam Sukma bagi memastikan negeri melabur untuk bahagian wanita, jika tidak dalam soal dana, bahagian wanita akan terus tercicir," katanya.
Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (B) S.Maniam, pula berpandangan: "Terdapat 10 bekas pemain negara yang menjadi jurulatih kelab-kelab di China.
"Untuk mengembangkan sukan skuasy di China, ia memerlukan usaha selama 10 tahun.
"Jadi saya boleh katakan ia bukanlah ancaman untuk temasya LA 2028, namun mungkin pada masa depan."
#Skuasy #Sukan Olimpik #Sukma