Haaland bakal terlepas perlawanan bertemu Brentford?
Ammar Hakim
September 13, 2024 09:54 MYT
September 13, 2024 09:54 MYT
Erling Haaland mungkin terlepas pertemuan Manchester City dengan Brentford hujung minggu ini kerana kelab itu memberinya cuti belas kasihan, sekiranya dia ingin mengambilnya, selepas kematian rakan keluarga terdekatnya.
Ia masih belum dapat dipastikan sama ada penyerang Norway itu akan menerima tawaran kelab itu berikutan kematian Ivar Eggja.
Haaland sedang menjalani latihan semalam dan masih boleh membuat keputusan untuk bermain pada sepak mula esok.
Eggja merupakan pengapit di majlis perkahwinan bapa Erling, Alfie dan penyerang Manchester City itu memanggilnya sebagai 'bapa saudara'.
Haaland menulis di Instagram selepas berita kematian tragis pada lelaki berusia 59 tahun itu, "Anda adalah legenda, Ivar.
"Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa bermakna anda kepada saya! Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa anda akan dirindui!
"Terima kasih untuk segala-galanya. Kita akan berjumpa lagi. Berehatlah dengan tenang, Ivar."
Manchester City telah memenangi tiga perlawanan pertama mereka dalam musim Liga Perdana Inggeris dan sudah pun menduduki tangga teratas apabila mereka berhasrat untuk memenangi kejuaraan kelima berturut-turut.
Haaland seperti biasa mempamerkan sentuhan prolifik, menjaringkan tujuh gol dalam tiga perlawanan itu, termasuk hatrik berturut-turut.
Dia kemudian menjaringkan gol kemenangan Norway menentang Austria pada malam Isnin apabila pasukan tuan rumah meraih kemenangan 2-1 di Oslo.