Grand Final VSL 2024: UPM B raih langkah kanan
Ammar Hakim
December 19, 2024 19:50 MYT
December 19, 2024 19:50 MYT
Saingan hari pertama Kejohanan Varsity Sepak Takraw League Grand Final 2024 menyaksikan, juara bertahan acara beregu, Universiti Putra Malaysia (UPM) B langkah kanan selepas berjaya mengatasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam aksi peringkat Kumpulan A yang berlangsung tiga set.
Menang di set pertama dengan keputusan 15-6, UPM B bagaimanapun tersentak seketika apabila dikejutkan dengan kebangkitan UKM yang mendominasi set kedua 17-14.
Set penentuan berlangsung menarik apabila kedua-dua pasukan saling memungut mata demi mata namun ketenangan yang dimiliki anak buah Dzulfajri Norsal menyaksikan mereka menoktahkan kemenangan set ketiga dengan keputusan 15-9.
Menanti UPM B di perlawanan kedua beregu premier esok ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) B yang turut meraih kemenangan dalam aksi sulung menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) A dengan keputusan 2-0.
Sementara itu dalam kategori regu elit Kumpulan A menyaksikan kejutan berlaku pada hari pembukaan selepas KPTM Bangi menundukkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) B straight set.
Meskipun turun dengan status bukan pilihan, ianya tidak menghalang KPTM Bangi untuk mempamer aksi meyakinkan sejak set pertama perlawanan.
Kawalan gelanggang yang baik serta disiplin bertahan berkualiti membolehkan skuad kendalian Riduan Ramli menguasai perlawanan untuk menang dengan keputusan 15-12, 15-11.
Untuk rekod musim lalu, perjalanan KPTM bangi sekadar di saingan peringkat kumpulan.
#UPM
#UKM
#Universiti Putra Malaysia
#Grand Final VSL 2024
#Kejohanan Varsity Sepak Takraw League Grand Final 2024
#Universiti Kebangsaan Malaysia