Grand Final VSL 2024: 26 IPT, 60 regu bakal berentap di Putrajaya

Saufi Tahir
December 18, 2024 20:22 MYT
Penolong Setiausaha Kanan, Tony Azman Hassan, menjelaskan sebanyak 60 pasukan regu akan mengambil bahagian daripada 26 Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam edisi kedua Kejohanan Grand Finale Varsiti Sepaktakraw League (VSL) 2024 yang akan membuka tirai bermula esok hingga 22 Disember 2024 ini.
Dia optimis dengan penambahan pelajar IPT yang beraksi di pentas besar seperti Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 kali ini iaitu sebanyak 22 pemain tahun ini berbanding hanya 11 pelajar dalam edisi lalu.
"Kali ini persiapan VSL sangat baik, kami mendapatkan kerjasama daripada Perbadanan Putrajaya yang menaja venue kami, penyertaan juga meningkat dengan 26 fakulti yang mengambil bahagian dengan 60 regu bertanding dalam edidi kali ini.
"Pertandingan masih format sama (regu dan beregu), tahun ini kami jemput pasukan Pra-Universiti dari Sekolah Sukan Bukit Jalil. Kami membuka ruang awal untuk mereka memandangkan mereka juga akan masuk ke IPT nanti.
Namun, Tony turut berkongsi bahawa saingan masih terbuka pada tahun ini walaupun kelebihan berpihak kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dijangkakan akan mendominasi saingan kali ini.
"Walaupun ada sedikit kelebihan pada UPM tetapi pasukan lain tetap ada peluang. Tahun lepas terdapat 11 pemain yang beraksi di STL, tetapi tahun ini terdapat 22 pemain yang mewakili pelbagai IPT. Mesti ada kelebihan buat mereka yang beraksi di pentas STL.
#Sepak Takraw #Grand Final VSL 2024
;