GP Qatar: Max Verstappen sahkan musim luar biasa Red Bull
Shaiful Shamsudin
October 7, 2023 07:15 MYT
October 7, 2023 07:15 MYT
Max Verstappen dinobatkan sebagai juara dunia Formula Satu (F1) selepas menduduki tempat kedua di belakang Oscar Piastri dalam pusingan pecut Grand Prix (GP) Qatar, awal pagi tadi.
Pemandu Belanda berusia 26 tahun itu mengikut jejak Sir Jackie Stewart dan Ayrton Senna dengan mengesahkan kejuaraan dunia ketiganya berbaki enam perlumbaan GP lagi selain menyamai rekod milik Michael Schumacher berusia 21 tahun.
Wira pasukan Red Bull itu telah mendominasi kancah F1 sejak dia menewaskan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, untuk merangkul gelaran sulungnya dalam kontroversi GP Abu Dhabi pada 2021.
Dengan penamat selaku naib juara ditambah pula kegagalan Sergio Perez untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga terpantas - berikutan terbabas dengan baki lapan pusingan -- sudah memadai buat Verstappen meraikan kejayaannya di Litar Antarabangsa Lusail itu.
Lando Norris (McLaren) menduduki tempat ketiga di depan George Russell daripada Mercedes sementara Lewis Hamilton di tempat kelima.
"Max, anda adalah juara dunia tiga kali," kata ketua pasukan Red Bull, Christian Horner, melalui radio.
Saturday night scenes!!! ??? pic.twitter.com/cyi76oC4oh
— Oracle Red Bull Racing (@redbullracing) October 7, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Ini sukar dipercayai. Ia adalah tahun yang luar biasa untuk anda.”
Verstappen kemudian menjawab: “Sukar dipercayai, sahabat semua. Saya tak tahu nak cakap apa. Terima kasih kerana memberi saya kereta yang bagus. Adalah menjadi satu keseronokan untuk dapat mencapai detik seperti ini. Saya tidak dapat membalas jasa awak semua.”
Selepas memuji pasukannya, Verstappen berkata: “Ia adalah satu perasaan yang hebat dan ia merupakan tahun yang luar biasa. Saya sangat berbangga dengan pasukan. Sungguh menyeronokkan untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan pasukan ini. Untuk menjadi juara dunia tiga kali adalah luar biasa.
“Kami akan terus berusaha dan cuba melakukan yang terbaik. Hari ini adalah perlumbaan yang menarik tetapi ia terasa bagus dan menyeronokkan di luar sana dan ketika ini saya amat gembira.”