Golf: McIlroy tolak tawaran lumayan Siri Jemputan Golf LIV

Shaiful Shamsudin
June 9, 2022 05:40 MYT
Rory McIlroy mengulangi pendirian bahawa dia tidak berminat untuk menyertai Siri Jemputan Golf LIV yang disokong jutawan Arab kerana percaya ia semata-mata berdasarkan wang dan "biasanya ia tidak berakhir dengan manis".
Dustin Johnson dan Phil Mickelson sanggup mengetepikan Jelajah PGA minggu ini selepas bersetuju menerima imbuhan besar untuk menyertai Jelajah LIV yang di luar kalendar pertandingan.
Bryson DeChambeau dilaporkan bersedia untuk menyertai acara kedua siri itu yang bermula di Portland akhir bulan ini, sementara Patrick Reed dan Rickie Fowler juga dikatakan mahu mengambil bahagian.
Ian Poulter, Sergio Garcia dan Lee Westwood antara pemain lain yang akan beraksi dalam acara pertama Jelajah LIV itu di Kelab Golf Centurion, esok.
Namun, McIlroy kekal komited dengan Jelajah PGA apabila bakal mempertahankan kejuaraan Terbuka Kanada minggu ini.

Class was in session ? @McIlroyRory carded a final round 61 en route to victory at the 2019 @RBCCanadianOpen.#TOURVault pic.twitter.com/vt5Og33Iai

— PGA TOUR (@PGATOUR) June 8, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Juara utama empat kali itu berkata dia lebih gemar bersaing dengan pemain terbaik dunia berbanding tergoda dengan status ganjaran.
"Saya rasa pendirian saya mengenainya sudah cukup jelas dari awal lagi. Ia bukan sesuatu yang saya mahu sertai," katanya.
"Sudah tentu saya memahami hasrat pemain lain dan memahami matlamat serta cita-cita mereka dalam hidup mereka,. Saya pastinya tidak akan menghalang sesiapa pun untuk menyertainya.
"Ia adalah soal kehidupan mereka. Ia adalah keputusan mereka. Mereka boleh menjalaninya dengan cara yang mereka mahu tetapi saya mahu bermain dalam Jelajah PGA dan menentang pemain terbaik di dunia.
"Saya sempat bercakap dengan beberapa orang semalam dan salah satu komennya adalah: 'apa-apa keputusan yang dibuat dalam kehidupan ini sekiranya hanya berlandaskan wang kebiasaannya tidak akan berakhir dengan manis'.
"Jelas sekali, wang adalah faktor penentu dalam banyak hal di dunia ini tetapi jika ia semata-mata demi wang, nampaknya kehidupan yang anda jalani sebenarnya tidaklah berjalan seperti yang anda harapkan dan saya pernah mengalaminya beberapa kali sebelum ini."
#Rory McIlroy #Golf #Siri Jemputan Golf LIV