Golf The Masters: Woods seronok 'menderita'  di Augusta

Shaiful Shamsudin
April 8, 2022 08:44 MYT
Tiger Woods menanggung kesakitan tetapi "tepat di tempat yang diperlukannya" selepas membuat permulaan baik dalam kemunculan semulanya dalam Kejohanan Golf The Masters sebentar tadi.
Kerjaya luar biasa juara utama 15 kali itu dikhuatiri berakhir selepas dia mengalami kecederaan kaki yang serius dalam kemalangan kereta pada Februari 2021.
Namun, lebih 13 bulan kemudian, pemain legenda Amerika tersebut melakukan pukulan tee dalam kejohanan utama sulung di Augusta itu pada musim ini apabila hanya ketinggalan tiga pukulan selepas mencatat satu di bawah par 71.
Dalam kejohanan yang menyaksikannya menyarung Jaket Hijau sebanyak lima kali itu, Woods melakar tiga birdie dan dua bogey.
Sungjae Im mendahului saingan di Amerika Syarikat (AS) itu dengan lima di bawah par setakat 15 lubang sambil diekori rapat Dustin Johnson apabila dibezakan dengan satu pukulan di samping Cameron Smith yang memulakan dan menamatkan permainan hari ini dengan double bogey untuk jumlah 68 pukulan.
Woods -- yang berusia 46 tahun -- menganggap dirinya sudah pun mencapai kemenangan hanya dengan beraksi minggu ini dan bersedia untuk melalui rintangan kesakitan di Georgia, di mana dia menerima sokongan hebat daripada peminat.
Dia berkata: "Saya mengalami kesakitan seperti yang dijangkakan tetapi ia sangat mengagumkan -- seperti yang diberitahu kepada pasukan sokongan saya sepanjang minggu ini, apabila tiba masanya untuk beraksi situasi bakal jadi berbeza.
"Adrenalin saya akan meningkat. Saya akan memasuki dunia kecil saya sendiri dan saya akan mengejarnya. Ini mengenai latihan yang telah kami lalui untuk mempunyai stamina.
"Ya, saya akan menanggung kesakitan. Begitulah keadaannya. Tetapi kitaran latihan yang kami lalui akan memastikan saya mempunyai stamina untuk terus bersaing dan ini baru pusingan pertama. Kami ada tiga lagi untuk ditempuhi. Perjalanan masih jauh dan banyak pukulan yang perlu dilakukan."

A strong start for the five-time champion. #themasters pic.twitter.com/4brY0k0O5x

— The Masters (@TheMasters) April 7, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Woods mendedahkan bahawa persiapan untuk pra-pusingannya itu tidak berjalan seperti yang dirancang.
"Saya melalui sesi memanaskan badan yang buruk," katanya.
"Kemudian saya ingat semula apa yang ayah selalu pesan. Dia mengingatkan saya agar memanaskan badan dengan betul.
"Ya, akhirnya saya dapat melakukannya. Saya sudah mula beraksi. Itulah yang saya lakukan, saya hanya perlu turun beraksi."
"Ketika di atas lapangan, saya melupakan segala hal dan terus membuat pukulan demi pukulan, pukul ke arah yang tepat, komited dengan apa yang saya lakukan, biarkan diri saya berada di sudut yang betul, mudah-mudahan dapat melakukan beberapa pukulan baik dan ayuh mencapainya. Ya, saya mampu melakukannya.
"Saya mampu berikan saingan hebat, saya hanya ketinggalan dengan tiga pukulan. Saya berada di tempat yang saya perlukan."
#Tiger Woods #Golf
;