Golf The Masters: Woods optimis peluang ungguli kali keenam

Shaiful Shamsudin
April 5, 2022 02:13 MYT
Tiger Woods tidak meragui keupayaannya untuk memenangi The Masters buat kali keenam tatkala pemain legenda Amerika itu bersiap sedia untuk membuat satu lagi kemunculan sensasi.
Woods tidak dapat berjalan tanpa bantuan selama beberapa bulan apatah lagi bermain golf kompetitif sejak mengalami kecederaan kaki yang serius dalam kemalangan kereta pada Februari 2021.
Pemain berusia 46 tahun itu tidak pasti sama ada dia mampu kembali beraksi di peringkat tertinggi tetapi dia kini sudah bersedia untuk membuat kemunculan semula yang luar biasa di Augusta National minggu ini.
Woods, yang memenangi gelaran Masters pertamanya di Georgia 25 tahun lalu, mengesahkan dalam sidang akhbar sebentar tadi bahawa dia sudah berasa bersedia untuk membuat penampilan pertama sejak The Masters 2020.
Walaupun dia akan menilai semula keadaannya selepas berlatih sembilan lubang lagi esok, Woods tetap berkeyakinan tinggi bahawa dia mampu kembali merebut gelaran itu selepas menyambar Jaket Hijau pada 2019 sebaik pulih daripada masalah belakang yang serius.
"Saya (mampu)," jawabnya apabila ditanya sama ada dia percaya dia sekali lagi berpeluang mengungguli kejohanan di Augusta.
Dia menambah: "Saya boleh memukul dengan baik. Saya tidak mempunyai sebarang keraguan tentang kemampuan fizikal saya dari sudut pandangan golf. Ketika ini untuk berjalan adalah bahagian yang sukar.
"Ini lumrah, bukan satu perjalanan yang mudah untuk kembali beraksi. Dengan keadaan kaki saya sekarang ini, ia menjadi lebih sukar.
"72 lubang adalah satu perjalanan yang panjang dan ia akan menjadi cabaran yang sukar dan saya sedia hadapinya."
Menjelaskan proses kemunculannya semula itu, Woods berkata: "Saya telah bekerja keras.
"Pasukan (sokongan) saya begitu mengagumkan. Saya bertuah kerana mempunyai pakar bedah yang hebat dan pakar terapi hebat yang telah bekerja dengan saya hampir setiap hari."
#Tiger Woods #Golf #The Masters
;