Penyerang negara, Faisal Halim, mencipta sejarah apabila jaringannya dinobatkan sebagai gol terbaik dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar bulan lalu.

Jaringan menarik yang dilakukan pemain bertubuh cilik berkenaan menggemparkan dunia bola sepak, di mana dia memperdayakan pertahanan kental Bayern Munich, Kim Min-jae, sebelum melepaskan sepakan lencong dari sudut sukar ke gawang lawan untuk Malaysia mengikat Korea Selatan 1-1 dalam aksi peringkat kumpulan -- perlawanan berkesudahan 3-3.

Daripada 132 jaringan yang terhasil dalam kejohanan itu, gol Faisal Halim berada dalam senarai lapan terbaik sejak Rabu lalu sehingga tarikh tutup undian malam tadi.

Daripada lapan jaringan berkenaan, gol Faisal mendapat undian tertinggi, iaitu sebanyak 85 peratus undian diikuti jaringan bintang Jordan, Mousa Al Tamari (9%) dan kapten Republik Korea, Son Heung-min (3%).

Calon-calon lain ialah jaringan Supachok Sarachat dari Thailand (1%), Sardar Azmoun dari Iran (1%) manakala gol pemain Jepun, Keito Nakamura, Hassan Al Haydous (Qatar) dan Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi) tidak sampai 1 peratus undian.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini turut menilai gol daripada Faisal itu sebagai satu keajaiban yang berlaku di pentas Piala Asia.