Skuad goalball negara begitu beremosi pada saat mereka melakar kemenangan menakjubkan 13-7 ke atas Thailand dalam aksi peringkat kumpulan Sukan Para ASEAN 2017 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), hari ini.

Ini adalah kali pertama Malaysia berupaya menundukkan skuad Gajah Perang itu sejak sukan berkenaan dipertandingkan pada edisi 2005.

Pemain negara, Muhammad Haiqal Azman -- yang lapan tahun berkhidmat bersama skuad kebangsaan -- tidak menyangka mereka mampu menikmati kejayaan dengan menewaskan juara bertahan itu.

"Kami tidak menjangka akan menang tetapi kami cuba berjuang. Alhamdullillah, ia di luar jangkaan. Saya amat berpuas hati.

"Saya sudah bermain goalball sejak 2009 dan sudah lapan tahun saya menunggu untuk mengalahkan Thailand," katanya.

Trio negara yang diketuai Husnaini Samsudin memulakan saingan dengan baik pada separuh masa pertama dengan kedudukan 4-3 sebelum mendahului 8-5 dalam babak berikutnya.

Selepas itu, skuad negara tenang ketika Thailand membuat kesilapan mudah sebelum mengesahkan kemenangan 13-7.

"Saya berbangga dengan pemain saya yang bermain bersungguh-sungguh. Mereka bermain bermati-matian. Itulah harapan negara untuk menjadi juara dalam temasya kali ini.

"Sekiranya, kami mara ke final dan bertemu Thailand, kami akan menunjukkan persembahan seperti hari ini," kata jurulatih pasukan, Abdul Karim Rahman.

Di sebalik kejayaan itu, ramai yang tidak mengetahui bahawa skuad negara telah menjalani latihan intensif 10 hari di China bulan lalu di samping menghadapi beberapa siri perlawnaan berdepan skuad senior China.

Ternyata, program tersebut -- yang dijalankan di Pusat Kecemerlangan Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) di Hangzhou -- membuahkan hasil dengan menjadikan juara bertahan, Thailand, sebagai mangsa kedua selepas mengetepikan cabaran Laos 16-6, semalam.

Sementara itu, hasrat skuad wanita untuk merekodkan kemenangan pertama dalam kempen kali ini disekat Myanmar pada saat-saat akhir permainan.

Malaysia sebenarnya berada di landasan untuk mencipta kebangkitan selepas ketinggalan 3-1 pada separuh masa pertama.

Aksi sengit berterusan sehinggalah minit terakhir permainan dengan Malaysia di ambang kemenangan pada kedudukan 7-6 di depan.

Bagaimanapun, kesalahan teknikal mengundang padah dengan memberikan Myanmar ruang untuk merampas keputusan seri 7-7.