Futsal Piala Malaysia: Kami mahu menang -- jurulatih skuad futsal JDT

Ammar Hakim
October 5, 2024 18:59 MYT
Johor Darul Ta'zim menjadikan kekalahan aksi final musim lalu sebagai panduan untuk menghadapi Selangor dalam perlawanan akhir di Axiata Arena esok.
Tatkala kem Selangor mengintai peluang untuk meraih gelaran kedua sekali gus mahu menafikan hasrat lawan untuk muncul juara berganda musim ini.
Aksi final kejohanan tahun lalu tampak masih segar dalam ingatan barisan pemain futsal JDT.
Ia menyaksikan mereka dinafikan peluang untuk bergelar juara setelah tewas kepada Pahang Rangers dalam aksi penentuan penalti 3-1.
Kempunan meraih kejuaraan untuk tahun pertama penubuhan, JDT bagaimanapun kembali lagi di pentas sama dengan anak buah Juan Antonio Miguel Garcia turun dengan semangat membara hasil kejayaan dalam liga musim ini.
"JDT gembira mara ke final (Piala Malaysia Futsal). Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, kami datang ke sini bukan hanya untuk bermain tetapi kami mahu menang.
"Saya yakin dengan pasukan saya pada perlawanan ini. Dalam masa sama, kami menghormati Selangor kerana mereka juga pasukan yang bagus,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Sementara itu, Selangor selaku pemenang tempat ketiga musim lalu tampak selesa dilabel sebagai pasukan 'underdog' dalam usaha mengulangi pencapaian 2022 dengan menjuarai kejohanan ini.
"JDT adalah pasukan yang kuat kerana mereka juara MPFL. Pasukan mereka juga mempunyai pemain import yang bagus.
"Saya boleh katakan peluang pada perlawanan esok akan menjadi 50-50. Walaupun JDT adalah pasukan pilihan saya, kami masih mempunyai potensi untuk menang kerana permainan kami juga sangat baik,” kata jurulatih futsal Selangor, Edgar Eder Baldasso,
#johor darul ta'zim #JDT #Selangor #Futsal #Futsal Piala Malaysia #Futsal Piala Malaysia 2024
;