Fareez Anuar gesa pencarian pelapis perlu dilakukan secepat mungkin

Najmi Iman
September 26, 2024 19:11 MYT
Jaguh perseorangan lelaki SU5 negara, Fareez Anuar, menjelaskan keperluan terhadap penilaian mengenai klasifikasi setiap atlet berikutan kegagalan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk mencapai sasaran empat pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024, baru-baru ini.
Perkara tersebut dilihat sangat penting bagi merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk terus melihat kilauan pingat selari dengan sasaran pada edisi seterusnya.
Fareez menuntut bahawa langkah drastik perlu dilakukan kerana khuatir akan kesukaran pencarian pelapis berkualiti setaraf sekiranya tiada usaha di peringkat akar umbi.
"Bagi saya ia sangat penting untuk memulakan proses tersebut daripada sekarang supaya boleh menyasarkan pingat yang lebih daripada edisi kali ini.
"Seperti sedia maklum, memang susah untuk mencari pelapis dalam kalangan atlet para, jadi buat masa sekarang semua perlu membangunkan potensi sebenar melibatkan atlet negara pada temasya seterusnya," katanya kepada Nadi Arena.
#badminton #Para #Fareez Anuar
;