Farah Ann umum bersara daripada sukan gimnastik

Muzaffar Musa
March 12, 2022 11:39 MYT
Ratu gimastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, mengumumkan persaraannya dalam satu kiriman Instagram hari ini.
Menerusi akaun Instagram peribadinya, Olimpian negara itu berkata dia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal buat sukan yang disertainya sejak 25 tahun lalu itu.
Bagaimanapun, gimnas berusia 27 tahun itu berkata dia masih mahu menaburkan bakti buat sukan gimnastik meskipun tidak lagi bergelar atlet.
"Selepas 25 tahun dalam sukan ini, akhirnya saya bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada karier sebagai gimnas yang bertanding.
"Sepanjang perjalanan mencapai impian dan matlamat saya serta bertanding dalam Sukan Olimpik, saya amat bersyukur dapat bersara mengikut kehendak saya.
"Gimnastik sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya kerana ia akan kekal sebagai minat saya. Diharapkan saya boleh menyumbang kepada sukan ini yang telah banyak membantu saya," katanya.
#Farah Ann Abdul Hadi #Gimnastik