Fairul mahu balas dendam
Penulis Jemputan
May 17, 2018 19:35 MYT
May 17, 2018 19:35 MYT
Walaupun sebulan sudah berlalu, pemain boling padang negara, Fairul Izwan Abdul Muin, masih terasa dengan apa yang terjadi dalam Sukan Komanwel 2018 selepas tersingkir di peringkat suku akhir dua acara berbeza kepada wakil Scotland.
Berbeza dengan edisi 2014 yang memperlihatkan Fairul sekurang-kurangnya membawa pulang pingat perak, pengalaman pahit di Gold Coast bulan lalu tidak akan mudah dilupakannya.
Kekalahan paling mengecewakan sudah tentu dalam acara berpasukan lelaki apabila tewas tipis 12-13 kepada Scotland.
Justeru, bagi melunaskan dendam yang tersemat, Fairul memasang harapan mahu berdepan wakil Scotland itu dalam Kejohanan Boling Padang 12 Negara di Wales dari 6 hingga 14 Julai ini.
"Saya masih terbayang aksi-aksi yang hampir memberikan kemenangan kepada saya pada waktu itu.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, Scotland merupakan salah satu pasukan yang akan bertanding dan mungkin ia menjadi ruang buat kami menewaskan mereka dan membalas dendam kali ini," katanya.
Mengenai masa depan, dia belum terfikir ke arah persaraan tatkala impian merangkul emas dalam Sukan Komanwel masih belum tercapai.
Cabaran Fairul kini mahu mengekalkan tahap prestasi terbaiknya sehingga Sukan Komanwel 2022 kerana dia bakal berusia 40 tahun pada waktu itu.
"Dalam masa empat tahun, apa sahaja boleh berlaku. Dalam sukan boling padang sendiri, banyak bakat baru yang bagus dan mungkin akan diketengahkan dalam kejohanan akan datang. Jadi, saya hanya cuba mempersiapkan diri untuk aksi selepas ini."
#Boling
#“Sukan
#2018”
#Abdul
#“Kejohanan
#Komanwel
#“Boling
#padang”
#Padang
#“Fairul
#12
#Izwan
#Muin”
#Negara”