F1: Vettel tidak akan sertai GP Russia selepas serangan ke atas Ukraine

Muzaffar Musa
February 25, 2022 14:03 MYT
Sebastian Vettel mendedahkan bahawa dia sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Russia pada September depan berikutan serangan ke atas Ukraine.
Presiden Russia, Vladimir Putin, mengambil keputusan untuk menyerang Ukraine hanya beberapa hari selepas Moscow memilih untuk mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah pemisah di timur negara itu, dan ia membuatkan rakan sejawatannya di Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, memutuskan segala hubungan diplomatik dengan Russia dan menisytiharkan undang-undang tentera di negara itu.
Serangan itu turut mendapat kecaman dunia dan mula memberikan impak terhadap sukan antarabangsa.
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kelihatan akan menggugurkan St Petersburg sebagai venue perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan saingan Liga Perdana Ukraine turut digantung.
Pemandu Aston Martin, Vettel, kini telah membuat keputusan bahawa dia tidak mahu berlumba dalam GP Russia di Sochi pada September depan.
"Saya terjaga pagi ini dan terkejut dengan berita ini," kata juara dunia empat kali itu.
"Bagi diri saya, pandangan saya adalah saya tidak patut untuk kesana. Saya tidak akan ke sana.
"Saya rasa bersalah untuk berlumba di negara itu.
"Saya sedih dengan orang tidak bersalah yang kehilangan nyawa, yang dibunuh atas alasan bodoh kerana kepimpinan yang amat-amat pelik dan gila.
"Saya pasti kami akan membincangkannya tetapi GPDA (Persatuan Pemandu Grand Prix) masih belum membuat keputusan sebulat suara," katanya.
#Sebastian Vettel #Permotoran #Sukan Permotoran #Formula 1
;