F1: Verstappen ungguli GP Brazil, Ricciardo terselamat daripada insiden tayar terbang
Muzaffar Musa
November 6, 2023 11:53 MYT
November 6, 2023 11:53 MYT
Max Verstappen melengkapkan kemenangan bergaya dalam perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Brazil sambil Daniel Ricciardo bebas daripada sebarang kecederaan selepas jenteranya berlanggar dengan tayar yang terbang ke arahnya.
Lando Norris daripada pasukan McLaren menamatkan perlumbaan di tempat kedua sambil pelumba Aston Martin, Fernando Alonso, mengatasi rakan sepasukan Verstappen di Red Bull, Sergio Perez, dengan perbezaan hanya 0.053 saat untuk menduduki tempat ketiga.
Bagaimanapun, ia bukanlah hari yang baik buat pasukan Mercedes, di mana Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan ketinggalan 63 saat manakala George Russell pula terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal berbaki 12 pusingan gara-gara kegagalan enjin.
Perumbaan di Sao Paulo itu terpaksa dihentikan seketika susulan insiden kemalangan pada permulaan saingan, di mana tayar yang tertanggal susulan pertembungan di antara Alex Albon dan Nico Hulkenberg terbang ke arah jentera Ricciardo.
"Saya cuba mengelaknya tetapi tayar itu terbang ke udara dan ia kemudian melanggar sayap belakang jentera saya," katanya.