Charles Leclerc telah menolak laporan suasana tidak harmoni di dalam kem Ferrari selepas mengharungi perlumbaan yang mengecewakan tatkala rakan sepasukan, Carlos Sainz, memenangi Grand Prix (GP) Britain minggu lalu.

Begitupun, pelumba berusia 24 tahun itu menegaskan pasukannya sepatutnya boleh membuat keputusan yang lebih baik yang menyasikannya menduduki tempat keempat di Silverstone, secara tidak langsung makin tercicir merebut gelaran pemandu terbaik.

Leclerc menguasai ranking ketiga dunia menjelang GP Austria, hujung minggu ini, untuk mengekori duo Red Bull, Max Verstappen dan Sergio Perez, selepas melakar beberapa keputusan mengecewakan.

Pemandu Ferrari itu bergelut sejak mengungguli dua daripada tiga perlumbaan awal kempen 2022 yang menyaksikannya gagal meraih sebarang podium dalam lima perlawanan terakhir, biarpun cemerlang dalam empat daripada lima perlumbaan pertama musim ini.

Leclerc sedang mendahului aksi di Silverstone sebelum Ferrari memilih untuk tidak menukar tayar baru ketika kereta keselamatan keluar pada lewat perlumbaan, sekali gus membolehkan Sainz meraih kemenangan pertamanya dalam karier Formula Satu.

Laporan akhbar Itali mendakwa beberapa jurutera Leclerc kemudiannya enggan mengambil bahagian dalam sesi bergambar berkumpulan untuk meraikan kemenangan Sainz, pemandu Monegasque itu sebaliknya memberitahu Sky Sports F1 bahawa tiada sebarang sikap pilih kasih dalam pasukan berkenaan.

"Memang mengecewakan terbaca semua tohmahan ini," katanya di Austria.



"Ia pastinya bukan gambaran sebenar apa yang berlaku di dalam pasukan. Kami adalah pasukan yang sangat bersatu, kami sentiasa begitu dan perlumbaan sukar ini tidak akan mengubahnya.

"Adakah kami kecewa selepas hujung minggu lalu? Saya rasa kami berpeluang mendominasi kedudukan 1-2 tetapi menamatkan perlumbaan di kedudukan 1-4, jadi sebahagian pasukan pastilah kecewa. Tetapi ia bukan punca seluruh kakitangan tidak berada dalam gambar yang dimaksudkan.

“Semua orang tumpang gembira dengan Carlos dan kejayaan ini kami kongsi bersama seluruh pasukan.

"Salah satu kekuatan yang kami ada sebagai rakan sepasukan dan sebagai pemandu ialah semangat berpasukan yang kami ada dalam Ferrari dan perkara ini sentiasa terkawal."