F1: Leclerc dikenakan penalti 10 petak dalam GP Arab Saudi
Muzaffar Musa
March 16, 2023 10:46 MYT
March 16, 2023 10:46 MYT
Charles Leclerc dikenakan penalti 10 petak perlumbaan menjelang perlumbaa Formula 1 (F1), Grand Prix Arab Saudi hujung minggu ini apabila Ferarri sekali lagi terpaksa menukar unit kawalan elektronik (ECU).
Dalam perlumbaan pembukaan musim di Bahrain minggu lalu, Ferrari terpaksa menggunakan ECU kedua sebelum Leclerc tidak dapat menamatkan perlumbaan kerana satu lagi masalah komponen berkenaan.
Untuk satu musim, setiap pemandu hanya dibenarkan untuk menggunakan dua unit ECU dan jika menggunakan lebih daripada jumlah itu, penalti penurunan petak pemulaan akan dikenakan.
Principal pasukan Ferrari, Frederic Vasseur, berkata: "Pada Ahad lalu, kami mempunyai dua isu. Yang pertama sewaktu pagi Ahad itu, apabila ia terbakar, unit kedua terpaksa digunakan bagi perlumbaan berkenaan.
"Malangnya, ia berulang juga dengan kotak kawalan elektronik itu dan ia sesuatu yang tidak pernah kami lalui sebelum ini.
"Saya harap ia kini dapat dikawal. Kami sudah melakukan analisis mendalam mengenainya.
"Malangnya, kami terpaksa menerima penalti di Jeddah kerana kami hanya boleh menggunakan dua unit kawalan dalam satu musim," katanya.