F1: Hamilton nafi akan bersara selepas tamat musim 2023

Muzaffar Musa
March 3, 2023 03:12 MYT
Lewis Hamilton menolak dakwaan bahawa musim 2023 akan menjadi musim terakhirnya dalam Formula 1 (F1) dan bersedia untuk kekal bersama pasukan Mercedes musim depan.
Juara dunia tujuh kali itu berada dalam tahun terakhir kontraknya bersama pasukan itu, yang dijangka akan bersaing dengan Red Bull bagi merebut kejuaraan musim ini.
Terdapat spekulasi bahawa Hamilton akan meninggalkan sukan berkenaan sejak penamat kontroversi yang tercetus pada 2021, di mana Max Verstappen merampas kejuaraannya di Abu Dhabi.
Hamilton meneruskan perlumbaan musim lalu walaupun Mercedes bergelut dan kehilangan gelaran kategori pengeluar kepada Red Bull dan dia kini sedang menjalani persiapan untuk memulakan musimnya yang ke-17 dalam F1.
Dua bekas pemandu F1, Jenson Button dan Damon Hill, mendakwa bahawa Hamilton akan bersara pada penghujung musim ini tetapi pelumba Britain itu segera menafikan dakwaan berkenaan.

2013 ➡ 2023. Year 11 with LH. ?? pic.twitter.com/FDeE0VdrYW

— Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team (@MercedesAMGF1) March 1, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ia sememangnya satu khabar angin yang direka seseorang tanpa sebarang fakta dan ia tidak berfaedah. Anda pasti fikir bahawa mereka (Button dan Hill) amat mengenali saya ketika ini," katanya kepada wartawan menjelang perlumbaan pembuka musim di Bahrain hujung minggu ini.
"Saya sudah bersama Mercedes sejak saya berusia 13 tahun dan tahun lalu merupakan tahun yang sukar tetapi saya masih di sini dan sama ada kami akan melalui satu tahun yang sukar atau tidak tahun ini, saya tetap akan berada di sini.
"Saya seorang pejuang dan kami akan berjuang sebagai satu pasukan. Saya gemarkan cabaran untuk mencari penyelesaian dan saya masih ada kepercayaan bahawa saya mampu untuk membawa jentera kami di tempat yang sepatutnya dan mungkin orang lain tidak dapat melakukannya. Saya gemarkan cabaran itu.
"Sudah pasti saya berharap kami dapat memulakan musim dengan jentera yang hebat tetapi apa yang sebenarnya diambil kira adalah perjalanan itu," katanya.
#Mercedes #Lewis Hamilton #Permotoran #Sukan Permotoran #Formula 1