F1: Ferrari perlu buktikan sesuatu selepas kekecewaan musim 2022 -- Leclerc

Muzaffar Musa
February 15, 2023 13:18 MYT
Charles Leclerc meletakkan jangkaan tinggi buat Ferrari bagi musim Formula 1 (F1) 2023 di sebalik kesukaran yang dihadapi mereka tahun lalu.
Leclerc memenangi dua daripada tiga perlumbaan pertama musim 2022 tetapi kemudian hanya dapat melakar satu kemenangan sepanjang kempen itu.
Beberapa keputusan yang salah mendatangkan padah buat Ferrari, yang menamatkan musim di tempat kedua di belakang Red Bull bagi kategori pengeluar.
Pasukan itu kemudian menggantikan prinsipal pasukan, Mattia Binotto, dengan Frederic Vasseur, yang minggu lalu mendedahkan mengenai sasaran pasukannya untuk bergelar juara keseluruhan.
Senada dengan sentimen itu, Leclrec berkata: "Sasarannya adalah untuk menang, amat jelas. Saya tidak sabar untuk kembali memandu dan mencuba untuk memenangi kejuaraan ini.
"Tahun lalu merupakan satu langkah yang baik. Kami hanya perlu melakukan perkara sama tahun ini dan harap-harap kami akan memenangi kejuaraan.
"Itu sasaran pasukan kami dan juga sasaran saya -- untuk mendapatkan lebih kemenangan, harap-harap ia akan lebih konsisten dari perlumbaan pertama hingga perlumbaan terakhir.

Meet SF-23, #Tifosi! Introducing our 2023 challenger ? #SF23 pic.twitter.com/O9uNS7mAIC

— Scuderia Ferrari (@ScuderiaFerrari) February 14, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Setakat ini ia amat mendebarkan. Anda dapat rasakan tanggungjawabnya tetapi perkara paling penting adalah untuk berjaya -- kami perlu membuktikannya.
"Perkara terpenting adalah untuk menang dan cabarannya ada di depan kami," katanya
Leclerc berkata demikian ketika majlis memperkenalkan jentera baru Ferrari bagi musim 2023, yang akan bermula di Bahrain bulan depan.
#Ferrari #Permotoran #Sukan Permotoran #Formula 1 #Charles Leclerc
;