EURO 2024: Ronald Koeman galas tanggungjawab penuh kekalahan Belanda di tangan Austria

Muzaffar Musa
June 26, 2024 09:23 MYT
Ronald Koeman berkata dia akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya kekalahan 3-2 Belanda kepada Austria dalam aksi terakhir Kumpulan D, Euro 2024 di Berlin awal pagi tadi.
Ini selepas tekanan terhadap ketua jurulatih Oranje itu kian memuncak susulan kekalahan berkenaan.
Terdahulu, Belanda terpaksa bangkit sebanyak dua kali hasil jaringan Memphis Depay dan Cody Gakpo, dan kelihatan akan menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan D.
Bagaimanapun, gol kemenangan Marcel Sabitzer memastikan Austria bimbingan Ralf Rangnick muncul juara kumpulan itu selepas Perancis dan Poland terikat 1-1 dalam satu lagi perlawanan.
Kekalahan itu juga menyaksikan Belanda menamatkan pusingan awal berkenaan di tempat ketiga dan berpotensi untuk bertemu England dalam pusingan 16.
"Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya. Saya yang mengumpulkan pasukan ini kerana saya rasakan inilah barisan terbaik kami tetapi ia tidak berlaku.
"Saya juga kecewa dengan diri saya untuk memulakan perlawanan seperti ini. Saya rasakan awal perlawanan persembahan kami amat buruk tetapi ia bukanlah untuk sepanjang aksi.
"Kami sedar mereka bermain dengan pertahanan yang agak ke atas , jadi kami berasakan perlu untuk menutup ruang hantaran.
"Kemudian, bahagian berlakang kami perlu bertahan tetapi jika salah satu daripadanya tidak berlaku, inilah yang anda terima.
"Sewaktu perlawanan, saya juga cuba untuk katakan yang pertahanan tengah kami patut lebih laju ke belakang. Masalah komunikasi juga satu lagi perkara buruk, terutama pada awal permainan," katanya.
#bola sepak #Ronald Koeman #Austria #Belanda #Euro 2024
;