Southampton berkata mereka "berasa jelik dan kecewa" dengan ejekan berbaur perkauman yang ditujukan kepada Kyle Walker-Peters selepas terikat tanpa jaringan dengan Manchester United di Old Trafford hujung minggu lalu.

Pertahanan kanan itu menerima deretan komen berbaur perkauman dalam satu hantaran Instagramnya susulan keputusan seri berkenaan.

Southampton mengeluarkan satu kenyataan bagi mencela perbuatan itu walaupun tidak menamakan Walker-Peters secara terang-terangan.
Kelab itu juga mengesahkan bahawa setiap komen berkenaan telah dipanjangkan ke pihak polis Hampshire.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu juga pernah mengalami situasi sama dua tahun lalu membabitkan bekas pemain mereka, Alexandre Jankewitz, yang turut diejek secara perkauman susulan satu perlawanan menentang lawan sama.

"Pada Feburari 2021, kelab ini telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai salah seorang pemain muda kami menerima ejekan berbaur perkauman susulan satu perlawanan dengan Manchester United," kata kenyataan itu.

"Selepas lebih dua tahun, kami sekali lagi mengalami situasi sama: kelakuan jelik dan mengecewakan daripada mereka yang merendahkan diri mereka sendiri di atas talian untuk mengejek pemain berdasarkan warna kulit.

"Kami sudah memanjangkan mesej yang berkenaan kepada Polis Hampshire sebagai proses kebiasaan yang kami lakukan untuk menangani kes seperti ini.

"Kami juga telah membuat laporan terhadap kiriman di media sosial yang terlibat.

"Kami hanya boleh berharap mereka akan memberikan perhatian terhadap apa yang menjadi masalah utama ini dan kami tidak mahu mengulangi kata-kata ini dalam tempoh dua tahun lagi."