EPL: Skor berdepan Man City, Liverpool, Amad Diallo perbaharui kontrak bersama Man United sehingga 2030
Najmi Iman
January 9, 2025 07:03 MYT
January 9, 2025 07:03 MYT
Pemain berusia 22 tahun, Amad Diallo, melakukan gerakan drastik apabila menandatangani perjanjian jangka masa panjang yang mengekalkannya sehingga Jun 2030 bersama gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Jika diikutkan kontrak asal, pemain kebangsaan Ivory Coast itu bakal meninggalkan kelab tersebut pada penghujung musim ini, namun The Red Devils tidak mahu mensia-siakan peluang dan terus menawarkan perjanjian baru kepada Amad Diallo.
Melewati aksi cemerlangnya sepanjang musim ini, pemain muda itu sudah menjaringkan enam gol serta tujuh bantuan jaringan merentasi 28 penampilan dan menjadi tonggak utama ketua jurulatih, Ruben Amorim.
Dia menjaringkan gol ketika menentang Manchester City dan Liverpool, menjadi pemain United ketiga yang menjaringkan gol menentang kedua-dua pasukan pada musim yang sama selepas Wayne Rooney pada 2004/05 dan Robin van Persie pada 2012/13.
@AmadDiallo_19 is here to stay! #MUFC
— Manchester United (@ManUtd) January 9, 2025
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selepas permulaan yang sukar di Manchester berikutan perpindahannya dari Atalanta pada 2021, Diallo telah membuat 50 penampilan untuk juara Piala FA 2024 itu dalam semua pertandingan.
"Saya benar-benar berbangga kerana telah menandatangani kontrak baharu ini. Saya sudah mempunyai beberapa detik yang luar biasa bersama kelab ini tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan pada masa datang.
“Saya mempunyai cita-cita besar dalam permainan dan saya mahu mencapai sejarah di Manchester United.
"Banyak yang saya pelajari sejak tiba empat tahun lalu. Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih dan kakitangan yang telah membantu saya untuk berkembang, dan kepada peminat kerana mendorong saya ke hadapan setiap hari.
“Ia adalah musim yang sukar untuk semua orang, tetapi saya percaya sepenuhnya bahawa kami berada di landasan yang betul.
"Saya bersedia memberikan segalanya untuk membantu pasukan dan membuat penyokong kami bangga sekali lagi," katanya.