EPL: Salah lanjut kontrak dua tahun di Liverpool
Muzaffar Musa
December 8, 2024 13:22 MYT
December 8, 2024 13:22 MYT
Mohamed Salah akan menandatangani kontrak baru yang akan mengekalkannya di Liverpool sehingga 2027.
The Sunday Mirror melaporkan kesepakatan itu telah dipersetujui kedua-dua pihak dan berita itu pastinya akan melegakan jutaan penyokong The Reds seluruh dunia.
Sebelum ini, permintaan Salah berkenaan pendapatannya tidak pernah menjadi masalah di antara kedua-dua pihak, sebaliknya ia melibatkan tempoh ikatan berkenaan.
Liverpool sebelum ini dilaporkan hanya berminat untuk memberikan Salah lanjutan setahun manakala penyerang Mesir itu pula mahukan kontrak tiga tahun dan perkembangan terkini menyaksikan dia bersetuju untuk menandatangani kontrak dua tahun.
Kontrak baru itu akan menyaksikan Salah kekal sehingga beberapa minggu selepas hari jadinya yang ke-35 dan kelab itu berasakan ada peluang yang baik untuk dia masih akan beraksi di tahap terbaik sehingga tarikh itu.