Marcus Rashford menafikan dakwaan mengarut bahawa dia meminta kesepakatan baru melibatkan bayaran £500,000 (RM2.72 juta) seminggu untuk kekal di Manchester United.

Kontrak pemain kebangsaan England itu, yang menjaringkan 27 gol daripada 44 perlawanan musim ini, akan tamat pada penghujung musim depan.

Menurut media British, Daily Star, masa depan Rashford bersama United menjadi tidak menentu disebabkan proses penjualan kelab itu selain permintaan gajinya yang terlalu tinggi.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu membalas kiriman artikel berkenaan secara langsung menggunakan akaun Twitter peribadinya untuk menafikan perkara itu.

"Sebelum perkara ini berpanjangan, ia benar-benar mengarut," tulisnya dalam Twitter.

"Kelab ini dan diri saya amat menghormati satu sama lain dan ia akan kekal seperti itu.

"Fokus saya hanyalah untuk menamatkan musim sebaik mungkin dalam liga dan memenangi trofi."

Rashford menambah dalam Instagram: "Satu lagi berita palsu bertebaran mengenai penasihat saya dan saya meminta-minta. Ia benar-benar mengarut.

"Sasaran saya bersama kelab ini adalah untuk menamatkan liga di kedudukan tertinggi yang kami mampu dan saya akan mencuba untuk memenangi satu atau dua piala."