Ilkay Gundogan berazam untuk tidak kehilangan momentum ketika Manchester City meneruskan pemburuan penamat tiga gelaran musim ini.

City melunaskan tugasan pertama dengan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Tumpuan mereka kini tertumpu ke arah saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi sebelum melngkah ke dua perlawanan final itu bulan depan, mereka terlebih dahulu perlu melengkapkan saingan liga.

City, yang tidak pernah tewas dalam 24 perlawanan terakhir, akan melengkapkan saingan EPL dengan bertandang ke laman Brighton awal pagi Khamis ini sebelum menutup tirai dengan menentang Brentford hujung minggu ini dan Gundogan tidak mahu pasukannya mengambil mudah dua perlawnan itu.

Kapten City itu berkata: "Kami sudah berminggu-minggu tidak tewas dalam sebarang perlawanan dan itulah standard yang perlu kami tetapkan buat diri kami.

"Kami tidak akan mengubah apa-apa -- kami hanya akan melakukan perkara yang sama seperti beberapa minggu lalu dan harap-harap ia akan menjadi sesuatu yang amat istimewa untuk menamatkan musim ini.

"Saya cintakan kelab ini dan gembira untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang luar biasa ini.

"Amat jelas, kami mahu menamatkan musim dengan dua lagi trofi. Kami masih ada dua final besar dan dua perlawanan terakhir dalam EPL dan kami akan bersedia untuk menghadapinya.

"Kami tidak mahu kehilangan apa-apa. Saya gembira untuk menjulang dua lagi trofi," katanya.

City akan menghadapi Manchester United dalam final Piala FA di Stadium Wembley pada 3 Jun ini sebelum menghadapi Inter Milan dalam final UCL di Turki berselang enam hari.