EPL: Guardiola amat bangga dengan Manchester City walaupun seri dengan Crystal Palace
Muzaffar Musa
December 8, 2024 12:10 MYT
December 8, 2024 12:10 MYT
CRYSTAL PALACE 2 MANCHESTER CITY 2
Pep Guardiola menabik semangat juang Manchester City dan amat berbangga dengan pasukan itu walaupun sekali lagi keciciran mata apabila terikat 2-2 dengan Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.
City terpaksa bangkit daripada ketinggalan dalam kedua-dua separuh masa di Selhurst Park, di mana Erling Haaland dan Rico Lewis memadamkan jaringan Daniel Munoz dan Maxence Lacroix buat tuan rumah.
Juara bertahan EPL itu kini gagal mencatatkan kemenangan dalam empat perlawanan terakhir di gelanggang lawan dan hanya memenangi satu daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
City menduduki tangga keempat EPL dan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool, yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan selepas aksi 'Derby Merseyside' dengan Everton terpaksa ditunda ekoran faktor cuaca.
Bagaimanapun, Guardiola tetap memuji pemainnya.
Mengulas mengenai prestasi mereka, pengurus City itu berkata: "Ia amat bagus. Saya berbangga dengan pasukan ini. Saya menggemari segalanya tentang pasukan ini, bagaimana mereka berjuang. Kami mencipta banyak ancaman dengan skuad kami.
"Kami berjuang dengan luar biasa. Kami bangkit dua kali. Ia satu tempat yang sukar untuk bermain. Kami bergelut pada awalnya. Kami memberikan segalanya dan kami mendapat satu mata.
"Kami memulakan separuh masa kedua dengan agak goyah. Selepas ketinggalan, kami memberikan reaksi dengan baik," katanya.