EPL: Cristiano Ronaldo yakin Manchester United kembali bangkit bersama Ruben Amorim

Muzaffar Musa
December 28, 2024 09:36 MYT
Cristiano Ronaldo percaya Ruben Amorim merupakan individu paling tepat untuk mengambalikan Manchester United ke puncak kegemilangan, di sebalik permulaan hambar pengurus baru itu bersama The Red Devils.
Sejak memulakan tugas dengan mengikat Ipswich Town 1-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 24 November lalu, Amorim hanya memenangi dua perlawanan liga, iaitu kemenangan ke atas Everton dan Manchester City tetapi mereka tewas kepada Arsenal, Nottingham Forest, Bournemouth dan Wolves.
United kini berada di tangga ke-14 EPL selepas mengalami empat kekalahan daripada lima perlawanan terakhir.
Pengurus berbangsa Portugis itu tiba dengan suasana positif berikutan kecemerlangannya bersama Sporting tetapi ia kian memudar selepas United tewas lima daripada 10 perlawanan dalam semua pertandingan.
Pengendali berusia 39 tahun itu secara terbuka mengakui dia sedang berada dalam tekanan biarpun baru sahaja memegang jawatan itu, terutama selepas kekalahan kepada Wolves pada Hari Boxing.
Kebanyakan penyokong United tidak kisah untuk memberikan Amorim lebih masa untuk menyesuaikan diri dan pengurus itu turut mendapatkan sokongan daripada legenda kelab itu, Cristiano Ronaldo, yang yakin rakan negaranya itu merupakan individu paling tepat untuk memacu The Red Devils kembali ke puncak kegemilangan.
"Dia melakukan tugas yang hebat di Portugal dengan bekas kelab saya, Sporting CP," kata Ronaldo.
"Tetapi EPL merupakan gergasi yang berbeza, ia liga paling kompetitif di dunia. Saya tahu ia akan menjadi sukar dan mereka akan terus dilanda badai.
"Tetapi badai itu akan berhenti dan matahari akan terbit semula.
"Harap-harap segalanya akan baik buatnya dan saya mengharapkan yang terbaik buat Manchester United kerana ia kelab yang masih saya cinta," katanya.
#bola sepak #Manchester United #Cristiano Ronaldo #EPL #Liga Perdana Inggeris #Ruben Amorim
;